Wednesday, January 11, 2012

Berani Gagal, ada berani?

Tiada siapa suka kan kegagalan. Tiada yang selesa ditimpa kegagalan. Ia menyakitkan.  Ada frasa berbunyi “ siapa yang gagal merancang, dia merancang untuk gagal”. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan saya, bila mengatakan bahawa manusia itu seharusnya merasai kegagalan. Oleh itu amat penting untuk anda membaca buah fikiran saya ini sehingga kesimpulan terakhir agar mendapatkan secara tepat maksud sebanar penulisan saya ini.

Mengapa manusia harus mengalami kegagalan? Setiap manusia harus mengalami kegagalan dalam hidup, sekurang-kurangya sekali. Itu pandangan saya. Namun apa yang penting ditekankan dalam penulisan ini adalah mengekalkan mentaliti dan sikap seorang juara pada masa  menghadapi kegagalan apabila ia menguji. Berjuanglah untuk menang, andai sekali kamu tidak hidup sebagai juara, kamu tetap hidup sebagai pejuang.

Pada masa kecil,  saya merupakan kanak-kanak yang mekar awal ( early bloomer). Saya ditawarkan belajar di sekolah berasrama penuh selepas  peperiksaan UPSR (peperiksaan awam sekolah rendah) dan masih cemerlang dalam PMR (peperiksaan awam menengah rendah). Selepas SPM (O level) saya melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti di UK dalam BSc Physics. Pengajian tersebut mengambil masa 3 tahun. Dugaan hidup saya bermula di sini. Saya pulang ke Malaysia selepas 2 tahun pengajian. Alasannya kerana saya tidak lulus semua subjek tahun kedua dan harus menambah 1 tahun lagi pengajian (extend) atas saranan pihak universiti. Saya diarahkan  pulang oleh penaja selepas rayuan untuk pengajian lanjutan tersebut ditolak.

Dalam keadaan yang sangat menekan itu, saya lebih banyak mengisi masa lapang dengan mendekatkan diri kepadaNya. Membaca al-quran, muhasabah diri dan banyak lagi untuk menguatkan hati ini sambil berendam air mata. Dalam masa 8 bulan, saya bakal memulakan semula tahun pertama saya di IPTA pada umur 23 tahun. Keadaan itu bakal memeranjatkan bakal rakan-rakan saya di university nanti. Jadi saya harus benar-benar kuat untuk menghadapi semua itu. Dalam masa ‘rehat’ selama 8 bulan itu, saya juga banyak menghabiskan masa dengan membaca buku-buku motivasi.

Kerja saya kini berganda. Pertama saya perlukan semangat untuk membina semula keyakinan diri. Yang kedua mengatur strategi pembelajaran yang lebih berkesan. Tanpa langkah pertama, saya sedar saya takkan mampu melakukan langkah kedua. Keyakinan diri adalah aspek utama kejayaan seseorang individu. Saya membaca buku-buku meningkatkan keyakinan diri dan cara-cara berkesan untuk berjaya dalam lapangan akademik.

Saya mahu lakukan yang terbaik dalam peluang kedua ini. Di Malaysia saya mengambil jurusan BSc Mathematics With Education. Oleh sebab saya belajar fizik di UK, saya masih perlu bekerja keras kerana matematik dengan fizik adalah 2 perkara yang sangat berbeza skopnya. Saya menghadapi pelbagai cabaran belajar matematik terutama statistik yang telah saya tinggalkan selama hampir 3 tahun selepas tamat A level.

Pada masa ini, saya melakukan muhasabah atau refleksi terhadap keberkesanan teknik belajar dengan lebih kerap daripada sebelum ini. Saya menilai kefahaman saya seawal pencapaian latihan kerja rumah yang saya buat. Setiap kali selesai membuat latihan, saya akan terus memeriksa jawapan supaya saya tidak akan membawa kesalahfahaman saya pada tajuk seterusnya. Saya dapati, saya tidak perlu mengambil masa terlalu lama memahami tajuk seterusnya seandainya saya sudah benar-benar memahami tajuk sebelumnya dengan cara begini. Jadi ulangkaji pun lebih produktif. Parameter keberkesanan teknik belajar itu dinilai berdasarkan keputusan ujian saya. Jika keputusan tidak mencapai sasaran minimum saya, saya kira teknik itu tidak berkesan. Kebiasaannya saya akan bersedih, kemudian berdoa memohon petunjukNya dan membaiki teknik belajar saya.

Pada masa semester pertama saya, saya mendapat tugasan esei bagi subjek penulisan ilmiah bahasa melayu. Esei tersebut panjangnya 15 hingga 20 muka surat dan dihantar pada minggu ke-12. Saya menyasarkan untuk menyiapkannya pada minggu ke-10. Pada minggu ke-10 progres penulisan saya mencapai 80% dan boleh dihantar pada minggu tersebut saya kira. Tetapi apa yang berlaku, dokumen tersebut rosak (detected as corrupted) yang tidak saya sedar sejak bila. Saya pergi kepada backup,  pun rosak. Ini bukan masalah komputer, tapi fail tersebut memang corrupted. Saya hanya ada 2 minggu sahaja lagi. Pada masa itu saya Cuma ada 2 pilihan. Pilihan pertama tulis semula, jadi harus secepat mungkin sebab masa terlalu suntuk. Pilihan kedua, bertenang seketika dan berbincang dengan pensyarah, meminta belas ehsan daripadanya dan idea daripadanya kalau-kalau ada  cara menyelematkan dokumen saya itu dan tidak perlu menulis semula.

Tiada perubahan pada jadual hantar tugasan. Tetap 2 minggu dari sekarang, hari Isnin waktu kuliah, jam 2 petang. Beliau menyarankan saya ke pusat ICT.  Staf di pusat  ICT juga tidak dapat membantu selain menyarankan saya menulis semula sahaja. Dalam 2 minggu tersebut saya memberi tempoh ‘bertenang’ pada diri hanya 4 hari. Selepas segala idea menyelamatkan penulisan idea saya tidak ditemui, saya mula menulis semula pada hari ke-lima. Ini bermakna segala usaha saya selama 10 minggu bermula daripada mencari bahan di perpustakaan, di internet dan semuanya, dan kemudian menulis semula esei dengan panjang 15 muka surat dilakukan dalam masa seminggu lebih sedikit. Minggu ke-10 adalah minggu kebiasaan semua tugasan dihantar dan saya juga menyiapkan 2 lagi penulisan ilmiah lain dan tugasan matematik pada ketika itu.

Pencarian semula maklumat bagi bahan esei juga menyebabkan saya terpaksa pulang ke kampung di Melaka kerana kebanyakan bahan saya dapat daripada perpustakaan negeri. Pada masa yang amat menekan itu adik perempuan saya berkata, “ Allah sedang menguji keikhlasan akak. Mungkin Allah mahu nilai jihad akak di sini. Kata-kata dan perbuatan yang lahir daripada hati yang berjihad insyaAllah akan terkesan pada hati orang lain. Mana tahu penulisan akak boleh memberi kesan nanti.”

Saya diam sahaja. Kepala berat fikir pelbagai perkara yang harus ditangani. Saya berfikir dan berkata-kata, tidak cukup lagi kah ya Allah ujian buat menilai keyakinanku padaMu? Aku sudah mula belajar menerima ketentuan yang dulu, yang ini ada lagi. Aku penat. Apa pula yang aku perlu belajar selain sabar? Aku sudah sabar, tapi masih belum cukup mungkin. Ya sabar itu tiada had nya. Unlimited. Aku melalui sahaja semua ini sambil yakin mungkin ada pelajaran yang aku dapat.
Akhirnya kutemui jawapan itu. Allah mahu mengajarkan ku kemahiran yang belum aku punya atau masih lemah.

Kebolehan bekerja dengan baik dalam keadaan tertekan. Di situ aku belajar ketenangan. Dan dengan ketenangan akal mampu berfikir waras, kemudian menghasilkan kerja yang baik. Dalam keadaan yang mendesak, saya  jadi lebih fokus. Seluruh tumpuan akal ini hanya pada isi penulisan sambil tangan menaip tangkas. Belajar untuk berfikir dan bertindak dengan cepat dan tepat. Dan ketenangan itu diraih dengan mengingati Allah. Pada waktu-waktu tertekan sebegini, doa adalah teman sejati. Dialah senjata. Memohon kemudahan urusan daripadaNya. Pelajaran terpenting dalam hidup saya, berdoa dalam setiap usaha agar diberikan kemudahan dan beroleh keberhasilan.  Selepas tragedi itu, saya menyimpan backup kerja-kerja kursus pada sekurang-kurangya 3 tempat termasuk online.  Serik.

 Solat hajat dan istikharah sahabat setia yang menemani malam-malam tempoh ini. Setiap yang kita niatkan pasti ada ujian  bagi memastikan kita benar-benar mahu apa yang diniatkan itu. Cabaran pasti ada untuk menguji kekuatan keinginan itu. Untuk semester pertama ini saya sasarkan 4.00 tetapi saya hanya dapat 3.64. Bagi subjek bahasa Malaysia tadi saya dapat B+, tidak mencapai target asal, A. Semester pertama ini cukup penting buat saya. Keputusan ini keputusan pertama saya selepas satu fasa kegagalan. Jika keputusan semester ini baik, saya yakin usaha dan strategi saya juga baik untuk meneruskan 7 lagi semester mendatang yang lebih mencabar nanti. Jika saya masih tidak mampu cemerlang, saya mungkin akan hilang keyakinan diri untuk selamanya setelah segala usaha dicurahkan. Alhamdulillah keyakinan diri meningkat semula. Segalanya dari Allah. Kekuatan dariNya.

Saya hampir menamatkan pengajian 4 tahun saya. Bagi latihan mengajar yang saya lalui,  saya ditempatkan di sebuah sekolah berasrama penuh dan mengajar matematik moden di 2 buah kelas tingkatan 4. Sememangnya matematik moden lebih mudah daripada matematik tambahan, tetapi masih terdapat pelajar yang tidak menunjukkan pencapaian yang baik dalam peperiksaan pertengahan tahun. Saya mula mengambil kelas-kelas tersebut selepas peperiksaan pertengahan tahun dan mengajar selama 14 minggu.

Pencapaian bagi salah satu kelas yang saya ajar berjulat 97 hingga 32. Selebihnya, majoriti mendapat markah antara 50 hingga 60. Pertama sekali, saya senyum bila melihat markah tersebut dan berkata dalam hati, “ Honeymoon year ya…”  Penanda aras bagi sekolah berasrama penuh adalah A+ bagi semua subjek, dan saya mengambil ini cabaran buat saya.
Lakukan yang TERBAIK dalam setiap usaha kamu. Jangan sesekali RANCANG untuk gagal, tapi hadapilah kegagalan dengan bijak. Jadilah bijak, walaupun kamu baru sahaja gagal.


Sepanjang pengajaran saya yang bermula pada Mei, saya menggunapakai pelbagai kaedah pengajaran. Adakala saya hanya bercakap dan menerangkan, adakala saya gunakan pembelajaran berkumpulan. Ada juga saya bawa mereka keluar. Saya memberikan mereka kerja rumah. Bagi mereka yang lemah, berdasarkan markah peperiksaan, saya membuat analisis yang lebih serius terhadap kerja rumah mereka dan cara mereka respons soalan dalam kelas. Saya bertujuan mengenalpasti kelemahan mereka dan apa yang mereka perlukan.

Kita harus melalukan sesuatu usaha pada tahap TERBAIK yang mampu dilakukan kerana hanya selepas melakukan yang terbaik sahaja seseorang mampu menilai usaha tersebut berkesan atau tidak , mengikut konteks. Dengan mengetahui cara mana yang lebih berkesan, kaedah mana yang lebih baik, kita akan berstrategi dengan lebih bijak (smart working) pada masa akan datang.

Oleh sebab saya pernah melalui kegagalan, saya manfaatkan pengalaman tersebut bagi menangani kelemahan pelajar-pelajar saya yang gagal dengan lebih berkesan. Dari segi psikologi dan motivasi, apa yang mereka perlukan. Dari segi strategi belajar pula, mana yang harus diperbaiki. Saya mengaggap semua pelajar berasrama penuh berpotensi untuk mendapat A+ dalam matematik moden dan semua A+ dalam SPM. Namun mereka perlu ditunjukkan di mana kelemahan  mereka. Apa puncanya, dan bagaimana cara berkesan menangani punca tersebut. Oleh itu saya mengambil langkah merancang pengajaran saya untuk selesai awal sedikit, dan mengisi minit-minit terakhir dengan sesi perkongsian. Saya berkongsi kata-kata motivasi yang saya timba sewaktu saya bersedih kerana gagal dahulu. Saya memilih kata-kata yang memberi  kesan bermakna pada saya dan saya amalkan. Di samping itu, saya berkongsi juga senarai do’s and don’ts untuk cemerlang dalam subjek saya itu. Don’t only work hard, but work smart. Learn from your mistakes and weaknesses. Change your technique if you need to. Don’t learn by hard, learn by heart. Then only you’ll see the beauty of the knowledge.

Saya sudah berada pada minggu ke-10 semasa ujian bulan Ogos. Pada masa itu, saya telah menghabiskan sukatan pelajaran. Saya merancang mempunyai sekurang-kurangya 2 minggu untuk ulangkaji bersama mereka dan mereka akan menyambung ulangkaji dengan guru asal selepas hari raya untuk peperiksaan akhir tahun. Berdasarkan analisis markah yang dibuat, saya dapati para pelajar yang mendapat markah yang tinggi adalah golongan yang kerap berjumpa saya dan mendapatkan bimbingan secara personal. Bukan kerana kehebatan saya, tetapi kehebatan sistem bimbingan(coaching)  itu. Melalui bimbingan, pembimbing dapat mengenalpasti kelemahan pelajar dan memberi  bantuan terus kepada apa yang mereka perlukan. Shooting right to the cause.  Oleh sebab kuasa bimbingan itu, saya mengambil langkah membentuk 4 kumpulan pelajar ‘terpilih’ yang memerlukan bantuan intensif dan setiap kumpulan terdiri daripada 3 hingga 5 orang. Setiap kumpulan mendapat tusyen secara personal dengan saya seminggu sekali dan 1 jam setiap sesi.

Buat saya, langkah ini sangat membantu saya mengenalpasti kemahiran yang masih tidak dikuasai oleh pelajar-pelajar ini. Dalam sesi ini, saya beritahu dengan jujur apa yang penting mereka sepatutnya mesti ingat dan mahir. Adakala saya keras, kerana saya perlu berkeras .

Saya berasa satu kepuasan apabila terdapat pelajar yang menulis nota kepada saya sempena perpisahan saya, “ Saya tidak sangka boleh dapat A+ dengan belajar sama cikgu hanya pada 1 malam”.

Sepanjang latihan mengajar, saya tinggal di rumah warden. Jadi pelajar tersebut datang ke rumah saya selepas kelas persediaan meminta ajarkannya matematik moden. Saya tidak mengajar kelasnya jadi tiada gambaran kasar akan tahap kefahamannya. Lagi pula, dia mengatakan tidak tahu apa yang mahu dipelajari , di mana mahu mula, sedangkan ujian besok dan harus belajar 4 topik.

Saya mengambil tempoh bertenang seketika. Pada masa terakhir begini, mengajar dan membaca tidak produktif langsung. Kami mungkin tidak akan tidur langsung sepanjang malam, dan belum tentu pula boleh cemerlang. Mengorbankan tidur bukan pilihan sama sekali. Alternatifnya, saya harus mencari kelemahannya. Saya mula memberi arahan, “ Ok, pertama. Buat 5 soalan bagi setiap topik daripada latihan topikal  masteri. Lepas siap 1 topik, tanda jawapan. Kamu perlu tahu mana kamu silap dan mana yang betul dari awal supaya kamu tidak terus membawa fahaman salah yang kamu anggap betul bagi tajuk seterusnya. Pastikan kamu buat pembetulan bagi jawapan yang salah. Buat sampai dapat jawapan betul. Jangan buat soalan topik seterusnya sampai kamu siap dengan betul semua 5 soalan topik yang lebih  awal. “

Bersama pelajar itu juga ada dua lagi pelajar lain yang buat soalan yang sama pada malam itu. Kadang-kadang mereka berbincang sesama sendiri dan hanya merujuk kepada saya bila mereka semua tidak tahu sahaja. Apabila saya telah menerangkan kepada seorang pelajar, biasanya saya memintanya menerangkan semula kepada kawan lagi seorang. Membantunya lebih faham dan menjimatkan masa. Pada masa tersebut, saya menerangkan soalan yang lain kepada pelajar ketiga.

Saya dalam bilik guru bersama cikgu lain pada malam sebelum ujian matematik moden itu. Pada waktu itu masa kelas persediaan bermula 9.30 hingga 11 malam selepas tarawih. Seorang pelajar datang berjumpa saya, seperti sudah jangka saya di situ, “ Cikgu, saya masih tak faham banyak benda”. “ Apa yang kamu tak jelas lagi?”, soal saya. Dia jawab, “ Saya tak tahu apa yang saya tak tahu.” Seperti biasa, “ Ok, kamu buat soalan ini, kalau tak boleh jawab, tanya saya. Nanti saya terangkan”. Semasa dia cuba menjawab soalan tersebut, saya sambung kerja saya dan berhenti untuk menerangkan sahaja. Saya tidak boleh membuang masa membiarkan kerja saya terbengkalai. Saya mengajar kelasnya. Pelajar tersebut mendapat A+ dengan 1 kesalahan cuai. Dia menulis nota kepada saya, “ Cikgu berjaya menukar persepsi saya terhadap subjek ini.”

Saya mahu menangis terharu. Itulah apa yang saya mahukan, lebih daripada A+. Pada saya, berusaha kea rah A+ adalah hanya satu medium atau pintu untuk memahami  ilmu itu. Destinasi sebenar adalah rasa kecintaan terhadap ilmu dan menjadi orang berilmu. Seorang pelajar mungkin boleh mendapat A+ dengan latihan yang banyak. Tetapi bagaimana saya mahu bertahan dengan hanya ‘ teknik paksaan’, hanya memberikan latihan dan kerja rumah yang banyak, di mana pada masa yang sama mereka menghadapi 9 hingga 11 subjek dan semuanya harus A+. Therefore, get their heart. Motivation. Once they love the knowledge, studying is not a burden. Get their heart, they’ll give their brain.

Guru fizik saya di sekolah dan pensyarah fizik saya semasa A level merupakan inspirasi saya. Mereka adalah insan-insan yang impaktif buat saya. A great educator inspires, and they really are. Sewaktu saya di UK, apabila orang bertanya jurusan saya, ramai yang berkata,” beraninya, tak takut ke kalau gagal, atau kamu dah bersedia dengan satu kehidupan kerja keras, atau kamu memang pandai.” Seorang jiran saya semasa tahun pertama berkata, “ Pada saya orang fizik ini semuanya gila.” Mungkin juga, saya agak bersetuju di situ. Tetapi itulah seperti yang orang kata, kalau cinta dah bertapak, kamu tidak kisah menyerahkan diri walaupun perjalanan itu mungkin panjang. Adakah saya putus asa belajar selepas gagal? Tidak! Kerana cinta itu sudah bertapak dan saya bahagia hidup bersama buku-buku.

Satu nota lain yang saya terima berbunyi,” Subjek ini lah yang pertama sekali saya dapat A+ sepanjang tingkatan 4 ini” dan “ Cikgu buatkan saya rasa betul-betul mahu dapat A+ untuk akhir tahun.”


Pada hari-hari terakhir saya di sekolah saya berkata kepada pelajar saya. “ Setakat ini saya kira agak banyak latihan yang kamu dah buat. Ada yang tahap kesusahan SPM, ada yang lebih susah. Saya mahu kamu lebih bersedia bila jawab peperiksaan dan kurang risau sebab dah pernah jawab soalan lebih susah. Bila kamu sudah melalui satu perkara yang susah, perkara lain akan jadi lebih mudah dan hati kamu lebih tenang. Bila kamu sudah buat soalan yang susah juga, ilmu sebelum itu  akan lebih mudah kamu ingat.

Kalau kamu belajar pendidikan macam saya, ada 6 aras kefahaman. Kita sekarang baru aras kedua kalau kamu nak tahu. Sekarang saya mahu uji kamu hingga aras 6. Ini bukan untuk SPM, tapi ilmu untuk kehidupan.”

Bagi soalan aras 1 hingga 6 ini, saya tidak mengharap terlalu tinggi mereka mampu jawab. Tapi saya tetap gembira sebab  bagi setiap aras, sekurang-kurangya terdapat seorang pelajar yang dapat jawab soalan tersebut.

Saya juga berkata kepada pelajar saya pada hari terkahir kelas,” Setiap manusia harus mengalami kegagalan dalam hidup sekurang-kuranya sekali. Jika tidak dapat jawab soalan latihan atau kerja rumah juga boleh dianggap 1 kegagalan. Siapa sungguh-sungguh pasti dapat. Kadang-kadang kita hanya berjaya selepas berkali-kali gagal. Gagal ada kebaikannya, sebab kamu berpengalaman, cara mana yang berkesan, mana yang tidak. Cuma kalau gagal dalam SPM ada risiko, iaitu masa hadapan. Tapi gagal dalam kerja rumah tiada risiko. Sekarang kamu pilih, kamu mahu gagal berisiko atau tiada risiko. Jangan gagal dalam SPM sebab kamu tak pernah gagal sebelum itu sebab kamu tak pernah cuba buat kerja rumah dan latihan. Kesimpulannya sila lah buat latihan dan kerja rumah."

wAllahu a’lam

Sumber: Mubarokah Musafirah (her story) dan Productive Muslim (pictures).

No comments: